Search

PPM gagalkan cubaan menyeleweng diesel subsidi

February 18, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Dam, di sini, semalam.

Suspek berusia 31 tahun yang sedang memandu Toyota Hilux ditahan sepasukan pegawai dan anggota PPM Lahad Datu, pada 3.45 petang.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui 17 tong warna kuning yang berisi minyak diesel di ruang belakang kenderaan berkenaan.

“Minyak diesel bersubsidi itu dipercayai cuba diselewengkan namun berjaya dikesan oleh PPM Lahad Datu.

“Suspek ditahan dan barang kes dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM101,253.75.

“Orang awam dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

“Langkah ini dalam usaha membanteras aktiviti haram ini daripada berleluasa,” katanya. – Info X