Search

SMJE dapat hak penyertaan eksplorasi di pantai timur Sabah

February 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, menerusi anak syarikatnya, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) mendapat 15 peratus hak penyertaan dalam aktiviti cari gali atau eksplorasi minyak dan gas di Pantai Timur Sabah.

Penyertaan itu masing-masing membabitkan Blok Ekplorasi SB306A dan SB306B kawasan luar pantai yang dikendalikan syarikat berkaitan tenaga, INPEX dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB).

SMJE dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini berkata syarikat itu masing-masing mendapat 7.5 peratus hak penyertaan dalam setiap blok.

Katanya, INPEX memegang 50 peratus kepentingan penyertaan (PI) selaku pengendali di blok SB306A, manakala PCSB memegang 42.5 peratus PI dan 7.5 peratus lagi oleh SMJE.

“Bagi blok SB306B, PCSB bertindak sebagai pengendali dengan 50 peratus PI, manakala INPEX memegang 42.5 peratus dan SMJE 7.5 peratus,” katanya.

Perjanjian bagi agihan kepentingan dalam kedua-dua blok eksplorasi itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada Isnin, 17 Februari 2025.

SMJE menandatangani perjanjian eksplorasi dengan PETRONAS dan INPEX.

Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, SMJE mendapat hak penyertaan ‘free carry right’ daripada INPEX dan ‘back-in right’ daripada PCSB yang bermakna ia tidak terbabit dalam risiko eksplorasi.

Selain itu, SMJE juga akan memutuskan sama ada menggunakan hak penyertaannya tertakluk kepada kejayaan eksplorasi dan pertimbangan komersial yang lain.

Majlis menandatangani perjanjian itu dibuat pada Malaysia Bidding Round 2024 (MBR2024) Award Signing Ceremony di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Dr Dionysia Kibat, menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi block SB306A dan SB306B bersama wakil daripada PETRONAS dan INPEX.

Acara itu menandakan rundingan eksplorasi tambahan di Sabah yang disertai SMJE selepas penyertaan dalam aktiviti eksplorasi pertamanya pada 15 Februari 2023 di blok SB409, diikuti blok SB403 pada 23 Januari 2024, di kawasan luar pantai, Pantai Barat Sabah.

SMJE turut memegang 50 peratus kepentingan penyertaan (PI) di PSC Samarang, 25 peratus kepentingan di loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan 10 peratus kepentingan dalam PETRONAS LNG9 Sdn Bhd.

Syarikat itu juga memiliki 100 peratus kepentingan dalam Sabah International Petroleum (SIP), yang kini sudah bebas daripada masalah hutang dan menjana aliran tunai yang kukuh menerusi operasi Simpanan Pengeluaran Terapung dan Offloading (FPSO) selain Unit Simpanan Terapung (FSO).

SMJE yang ditubuhkan pada 10 November 2021 mengisytiharkan dividen berjumlah RM110 juta bagi 2023 dan 2024. – Info X