KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan negeri menjelaskan apa yang terjadi kepada pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) hingga meminta peluang kedua untuk melaksanakan SMJ 2.0.
Beliau berkata, jika pelan SMJ yang dicanangkan sebelum ini berjalan lancar dan memberikan hasil yang memuaskan, mengapa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor perlu merayu kepada rakyat untuk memberikan peluang kedua kepada kerajaan pimpinannya.
“Saya Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah, ingin mempersoalkan secara jujur dan terbuka kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, apa yang telah berlaku kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya? Kenapa tiba-tiba sekarang beliau memohon dan merayu agar diberi peluang kedua untuk memimpin kerajaan negeri serta melaksanakan SMJ 2.0?
“Jika pelan SMJ yang dicanangkan sebelum ini berjalan lancar dan memberikan hasil yang memuaskan, mengapa ada keperluan untuk Datuk Seri Hajiji merayu kepada rakyat untuk memberikan peluang kedua? Kenapa meminta simpati jika prestasi SMJ benar-benar cemerlang,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag menegaskan jika pelaksanaan SMJ berjaya dan kepimpinan berfungsi dengan baik tiada alasan bagi Hajiji untuk merayu dan meminta simpati rakyat Sabah.
“Rakyat pasti akan terus memberi sokongan dengan ikhlas tanpa sebarang permohonan daripada pihak kerajaan, manakala keputusan rakyat adalah berdasarkan prestasi dan rakyat sudah pasti lebih menghargai hasil daripada janji kosong.
“Sekiranya SMJ gagal, saya percaya rakyat juga sudah pasti memahami keperluan untuk perubahan dan pembaharuan. Namun, jika memang terdapat kekurangan dalam pelaksanaan tersebut, adalah lebih baik bagi Datuk Seri Hajiji untuk akui secara terbuka dan memperbaikinya tanpa perlu bergantung kepada rayuan untuk diberi peluang kedua,” katanya.
Bung Moktar berkata, bagi UMNO Sabah, mereka akan terus berjuang untuk kesejahteraan dan kemajuan rakyat Sabah dan berharap agar segala usaha pembangunan dilakukan secara telus dan berkesan.
Jelasnya, kepercayaan rakyat kepada kepimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa tetapi harus dibuktikan dengan prestasi dan keberkesanan tindakan kerajaan.
Sebelum ini, Hajiji meminta agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpinnya diberi peluang sekali lagi untuk memerintah negeri bagi meneruskan pelan pembangunan SMJ yang akan beralih ke fasa 2.0 bermula tahun depan. – Info X