TAWAU: Seramai 139 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Sapu di daerah ini dan Semporna, selama dua hari bermula semalam.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam hingga 10.50 pagi tadi itu membabitkan 66 pegawai dan anggota JIM Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut.
“Sepanjang penguatkuasaan pada malam tadi sehingga pagi tadi, seramai 462 individu diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 139 individu disyaki Pati ditahan.
“Semua Pati yang berusia satu hingga 72 tahun dibawa ke Depot Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua yang ditahan didapati melanggar peraturan mengikut Akta Imigresen Seksyen 6(1)(c) dan juga Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa termasuk menyalah gunakan pas dibawah Seksyen 39(b).
Katanya, operasi yang dijalankan selain mengesan Pati, operasi ini juga turut memberi tumpuan kepada majikan yang menggunakan khidmat Pati untuk diambil tindakan tegas.
“Kita member peringatan kepada majikan supaya memastikan pekerja yang mereka ambil memiliki dokumen yang sah.
“Jika diperhatikan statistik pada tahun ini saja seramai 32 majikan telah ditahan dan ditangkap kerana mereka dianggap melindungi Pati.
“Manakala statistik tahun lalu jumlah majikan yang ditahan dan dikenakan pendakwaan dan juga kompaun seramai 117 majikan,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang Januari hingga Disember 2024, JIM Sabah telah menghantar pulang seramai 8,844 Pati ke negara asal yang dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan. – Info X