Search

Penunggang maut terhumban dalam parit selepas kemalangan

February 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut terhumban ke dalam parit selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kepayan, dekat 88 Market, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia lingkungan 40-an yang menunggang motosikal jenis Harley-Davidson disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, sepasukan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.26 pagi.

Katanya, Kemalangan membabitkan sebuah motosikal Harley-Davidson dan kereta jenis Proton Saga.

Anggota bomba mengangkat mangsa yang terhumban ke dalam parit selepas terbabit kemalangan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu.

“Penunggang motosikal telah terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Manakala pemandu Proton Saga lelaki berusia lingkungan 30-30-an tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher.

“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 2.09 pagi,” katanya. – Info X