KOTA KINABALU: UMNO Sabah mempunyai hak untuk memilih rakan gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu sejajar dengan kedudukan UMNO Sabah yang sudah lama bertapak di negeri ini.
Beliau bagaimanapun berkata, keutamaan UMNO Sabah ketika ini adalah untuk memperkukuhkan lagi jentera parti itu terlebih dahulu.
“Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung.
“Tapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita adalah memperkukuh jentera parti di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu, berkata pihaknya perlu memastikan UMNO Sabah berada dalam keadaan yang kuat untuk kembali menjadi parti yang dominan.
Jelasnya, jika UMNO Sabah dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan dengan parti itu juga akan melihat UMNO sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini.
“Dalam ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34 di Tawau Ahad lalu, beliau menegaskan pentingnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi kuasa politik dominan pada PRN17.
“Beliau (Ahmad Zahid) turut mengingatkan kita agar tidak lagi mudah percaya dengan janji-janji manis pihak tertentu yang mahu bekerjasama tetapi akhirnya hanya merugikan UMNO Sabah,” katanya.
Bung Moktar berkata, berdasarkan pengalaman lalu, UMNO Sabah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik.
“Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana UMNO bukan parti yang lemah.
“Fokus utama kita kini adalah memperkukuh kekuatan dalaman dan memastikan setiap ahli serta jentera UMNO Sabah bersiap sedia untuk menghadapi PRN17 dengan keyakinan tinggi.
“Dengan sokongan padu daripada rakyat Sabah, insyaAllah UMNO akan terus berjuang demi kestabilan dan kemajuan negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, berkata UMNO Sabah sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang PRN17.
“Dalam usaha mengembalikan UMNO Sabah ke landasan yang tepat, kita sedar bahawa perjalanan ini tidak mudah, malah penuh dengan cabaran serta rintangan.
“Namun, dengan keazaman dan kebijaksanaan kepemimpinan serta seluruh ahli UMNO Sabah, segala kesulitan yang dihadapi sebelum ini berjaya diatasi,” katanya.
Hasilnya, Bung Moktar berkata UMNO Sabah kini berdiri kukuh di landasan yang benar. – Info X