Search

Lelaki hilang disambar buaya

February 27, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki hilang disyaki disambar buaya di sungai Kampung Sungai Batang Baru, Batu 10, di sini, hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikatakan sedang menabur baja ke dalam sungai bagi memulakan aktiviti merambat ikan sebelum disambar reptilia berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi yang terletak tiga kilometer dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Lokasi mangsa dilaporkan hilang disyaki disambar buaya di sungai Kampung Sungai Batang Baru, Batu 10, Sandakan. – Foto/Bomba

“Berdasarkan maklumat awal, saksi mendakwa ketika kejadian mangsa sedang menabur baja ke dalam sungai untuk memulakan aktiviti merambat ikan namun telah disambar buaya dan hilang.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan SAR di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang disambar buaya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X