Search

Pelupusan bom di Kinarut jam 10 pagi esok

March 1, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Bom kedua tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di sebuah tapak pembinaan di Kinarut, di sini, semalam dijadual dilupuskan pada jam 10 pagi esok, Ahad, 2 Mac 2025.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata pelupusan bahan letupan seberat 250 kilogram itu dibuat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, SOP itu tertakluk di bawah Jawatankuasa Perancangan Operasi (OPC) No 8 dan Pengurusan Risiko Bencana Letupan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No 1.

“Oleh itu polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di sekitar radius satu kilometer persegi dari kawasan pemusnahan bom dijalankan,” katanya.

Pihaknya turut meminta orang ramai mengambil beberapa tindakan penting yang disarankan sepanjang proses pelupusan bahan letupan itu esok.

Tindakan pertama katanya, penduduk di kawasan radius satu kilometer dari lokasi pelupusan perlu keluar dari kediaman atau bangunan dan berada di kawasan lapang.

“Bawa barangan berharga ketika meninggalkan kediaman atau bangunan dan letak barangan mudah pecah di atas lantai kediaman atau bangunan.

“Sebelum keluar, pastikan tingkap cermin dibuka dan kunci pintu apabila meninggalkan rumah,” katanya.

Beliau berkata, polis juga akan menutup beberapa jalan utama pada jarak satu kilometer dari lokasi pelupusan bom.

Berikutan itu, katanya orang ramai dinasihatkan mencari jalan alternatif dan bertenang serta tidak menimbulkan panik yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Pihak polis akan memaklumkan segera jika operasi pemusnahan bom ini selesai dan selamat kepada orang awam.

“IPD Papar dan Unit Pemusnah Bom (UPB) akan cuba sedaya upaya dan menitikberatkan aspek keselamatan untuk meminimumkan kesan kepada orang awam dan kerosakan harta benda,” katanya.

Katanya, keputusan melupuskan bom itu esok di lokasi ia ditemui dibuat dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar yang dipengerusikan Pegawai Daerah Papar, petang semalam.

Pagi semalam, sebutir lagi bom lama yang masih aktif ditemui pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di Kinarut selepas penemuan bom pertama pada Selasa lalu dan dimusnahkan sehari kemudian. – Info X