KUALA LUMPUR: Datuk Peter Anthony gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Ia berikutan keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin yang bersidang hari ini mengekalkan hukuman terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini.
Beliau bagaimanapun sudah membayar denda yang dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Peter memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 19 April 2023, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023.
Peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sebagai responden, selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 1 Ogos tahun lalu.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan keputusan rayuan berkenaan pada 27 Nov 2024 namun tarikh itu dipinda kepada 9 Januari 2025, sebelum ditangguhkan lagi ke 7 Februari dan akhirnya keputusan dibuat hari ini.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda. – Info X