KOTA KINABALU: Seramai 100 anak yatim dan asnaf dari kawasan Parlimen Tuaran menerima sumbangan pakaian dan kasut raya bernilai RM200 sempena sambutan Aidilfitri pada akhir bulan ini.
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tuaran itu diraikan pada Program ‘Shopping Raya’ di Servay Hypermarket, Inanam, dekat sini pada Jumaat.
Program itu dianjurkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan syarikat Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad dengan kerjasama Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag selaku Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) turut hadir meraikan kanak-kanak terbabit.
Ditemui pemberita selepas itu, Juliah berkata program berkenaan amat bermakna dan memberi keceriaan serta kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kanak-kanak dan keluarga mereka begitu bersyukur dan senang hati apabila dibawa membeli pakaian dan keperluan untuk menyambut Hari Raya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UPPM, KTC dan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat kerana berganding bahu menjayakan program tahunan itu.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang; Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau dan isteri Datin Yee Tsai Siew dan Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda.- Info X