KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) membongkar kegiatan penyeludupan minuman keras tidak bercukai yang menjadikan rumah sebagai ‘stor’ penyimpanan dalam serbuan di Jalan Sapi Nangoh, Telupid, Sabtu lalu.
Serbuan PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin Wilayah Empat Sabah, jam 9.50 pagi itu membawa rampasan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM120,411.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis jenama minuman keras yang disimpan di dalam rumah stor berkenaan.
“Pasukan serbuan kemudian merampas semua minuman kerana barangan disyaki tanpa dokumen/cukai yang sah.
” Tiada tangkapan dilakukan dipercayai penjaga atau pemilikan telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM120.411.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik rumah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan barangan yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada berleluasa. – Info X