Search

Beaufort masih banjir, 473 mangsa di PPS

March 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 473 mangsa banjir daripada 141 keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort setakat jam 8 pagi ini.

Daerah yang dilanda banjir kali kedua dalam bulan ini sejak kelmarin, satu-satunya yang masih ada mangsa di PPS.

Semalam, dua PPS iaitu di Sipitang dan Keningau sudah ditutup setelah situasi banjir di daerah terbabit dilaporkan pulih sepenuhnya.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, mangsa banjir dipindahkan di Beaufort meningkat berikutan pembukaan sebuah lagi PPS di Dewan Gereja St Seno, Batu 58, Beaufort.

Seramai 167 mangsa daripada 55 keluarga dipindahkan ke PPS itu setakat jam 8 pagi ini, manakala dua lagi PPS iaitu di Dewan Selagon dan Dewan DSP Mohd Dun Banir masing-masing kekal 138 dan 168 mangsa sejak semalam.

Beaufort kembali dilanda banjir sejak Jumaat lalu sebelum pemindahan mangsa dilakukan sejak Sabtu setelah baru seminggu dilaporkan pulih daripada banjir sebelumnya.

Ia adalah kejadian banjir kedua dalam bulan ini dan yang ketiga sejak Februari lalu.

Banjir yang bermula pada 7 Mac lalu menyebabkan hampir 2,000 mangsa dipindahkan di Beaufort sebelum dilaporkan pulih sepenuhnya pada 15 Mac. – Info X