KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengecam kegagalan kerajaan negeri menguruskan kesan penamatan kontrak Kilang KOSAN, yang menyebabkan 230 pekerja tempatan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kilang KOSAN sudah beroperasi lebih 40 tahun dan menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi tempatan.
“Namun, kerajaan negeri dengan mudah menamatkan kontrak tanpa sebarang pelan mitigasi bagi memastikan kelangsungan operasi kilang ini.
“Keputusan ini menunjukkan kelemahan kerajaan dalam melindungi pekerja tempatan serta industri yang telah lama berjasa kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah faktor sebenar di sebalik keputusan menamatkan kontrak dengan KOSAN.
Katanya, adakah ia sebahagian daripada dasar penjimatan atau adakah terdapat pihak tertentu yang diberikan keutamaan?
“Ketelusan dalam perkara ini amat penting bagi mengelakkan sebarang unsur penyalahgunaan kuasa atau kepentingan tertentu dalam penganugerahan kontrak kerajaan.
“Kes ini membuktikan bahawa kerajaan negeri gagal merangka dasar sokongan yang kukuh untuk industri tempatan.
“Sepatutnya, kerajaan membantu KOSAN mendapatkan pelanggan baharu atau menyediakan insentif bagi memastikan kilang tersebut terus beroperasi,” katanya.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata, tindakan menamatkan kontrak tanpa penyelesaian jelas hanya melemahkan daya saing industri tempatan dan menjejaskan ekonomi Sabah secara keseluruhan.
“UMNO Sabah juga menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam isu ini dengan menyediakan bantuan kewangan atau peluang perniagaan kepada KOSAN agar syarikat ini dapat meneruskan operasi dan menyelamatkan pekerjaan rakyat Sabah.
“Jika syarikat besar lain boleh diberikan bantuan, mengapa tidak syarikat yang telah lama berkhidmat kepada rakyat Sabah,” katanya
Jelasnya, kerajaan negeri mesti bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat dan segera tampil dengan penyelesaian konkrit untuk membantu bekas pekerja KOSAN.
“UMNO Sabah akan terus memperjuangkan hak pekerja tempatan dan memastikan kebajikan rakyat Sabah tidak dibiarkan terabai akibat kegagalan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. – Info X