Search

PRN17: Penentuan kerusi diputus UMNO Tuaran dan Presiden, bukan seorang individu, kata Abdul Rahman

March 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengungkit soal pemilihan kerusi yang akan ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) khususnya di bahagian Tuaran yang diketuainya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu seolah-olah mempersoalkan tindakan individu tertentu dalam UMNO Sabah sendiri yang membelakanginya dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan UMNO Tuaran.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan penentuan kerusi yang akan ditandingi parti itu di Tuaran dibuat oleh UMNO Tuaran dan Presiden UMNO.

Jelasnya, ia bukan keputusan yang boleh dibuat oleh seorang individu tanpa sebarang perbincangan dengan kepemimpinan UMNO Tuaran.

“Penentuan kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO Sabah Bahagian Tuaran adalah keputusan UMNO Sabah Bahagian Tuaran dan Presiden UMNO Malaysia, bukan keputusan sembarangan oleh seorang individu tanpa ada perbincangan dengan UMNO Sabah Bahagian Tuaran.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi.

“Jadilah demokrat, bukan autokrat,” katanya berdasarkan kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.

Kenyataan beliau itu menggambarkan seolah-olah berlaku pertentangan dalam soal membuat keputusan di antara pemimpin tertentu dalam UMNO Sabah. – Info X