SANDAKAN: Seorang lelaki dan dua anak saudaranya dikhuatiri lemas di dalam kejadian tepi laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar, Jalan Costel, di sini, awal pagi ini.
Terdahulu, lelaki berusia 20-an, itu cuba menyelamatkan sepupu wanitanya bersama dua anak wanita itu yang disyaki terjun ke laut sebelum semua mereka dihanyutkan ombak.
Bagaimanapun wanita berusia 30-an terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala mangsa dan dua anak wanita iaitu lelaki berusia empat dan perempuan berusia enam tahun masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, laporan kejadian membabitkan empat individu dikhuatiri lemas di tepi laut, yang diterima menerusi talian balai pada jam 1.13 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agenis Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah ‘water surface’ di tebing laut.
“Mangsa wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam dan diberikan bantuan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
“Setakat ini, tiga lagi mangsa masih dalam pencarian oleh pasukan penyelamat.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X