LAHAD DATU: UMNO Bahagian Lahad Datu mengecam tindakan penguatkuasa mengasari seorang penjual belon dalam satu insiden di ibu negara baru-baru ini.
Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan polis berhubung kes itu jika tiada sebarang tindakan diambil terhadap penguatkuasa yang bertindak keterlaluan terhadap penjual belon terbabit.
Katanya, tindakan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah tidak wajar selain tidak berperikemanusiaan terhadap sesama insan.
“Sebagai parti yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, termasuk melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf serta mengangkat ekonomi orang Melayu sejak awal kemerdekaan, UMNO tidak sesekali merestui tindakan tidak bermoral seperti ini.
“Sehubungan itu, kami menggesa kepada pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam insiden berkenaan.
“Jika tiada tindakan sewajarnya diambil, UMNO Bahagian Lahad Datu tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang penjual belon dikasari penguatkuasa DBKL kerana dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Berdasarkan rakaman yang tular, beberapa orang penguat kuasa DBKL kelihatan mengasari seorang lelaki yang membawa belon hingga terjatuh menimbulkan suasana kecoh.
DBKL dalam satu kenyataan mendakwa penjual belon terbabit bertindak agresif apabila ditegur buat kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal.
Sharif Musa berkata, walaupun insiden itu berlaku di ibu negara, pihaknya terpanggil mengecam tindakan penguatkuasa DBKL terbabit kerana dianggap tidak wajar.
Katanya, ia perlu dijadikan peringatan kepada semua penguatkuasa supaya tidak mengambil tindakan di luar batas kemanusaiaan, lebih-lebih lagi terhadap seorang peniaga kecil.
Beliau menekankan bahawa tindakan penguatkuasaan harus dilakukan dengan penuh hemah dan menghormati hak asasi manusia, tanpa mengira latar belakang individu yang terbabit.
“UMNO sentiasa mendidik ahlinya untuk membela agama, bangsa, dan tanah air. Perbuatan kasar dan tidak berperikemanusiaan seperti itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada perjuangan UMNO.
“Kami berharap insiden seperti ini tidak berulang pada masa hadapan dan pihak berkuasa dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih beretika dan berperikemanusiaan,” katanya. – Info X