BELURAN: Seorang wanita dan bayi lelakinya maut selepas kereta dinaiki terbabas lalu terlanggar sebatang pokok di hadapan Klinik Kesihatan Telupid, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, semua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari Labuan untuk balik berhari raya di Semporna.
Difahamkan, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga FLX itu mengorbankan bayi lelaki berusia dua bulan dan ibunya berusia 35 tahun manakala lima lagi termasuk suami mangsa mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai disebabkan pemandu yang keletihan kerana perjalanan jauh dari Labuan menuju ke Lahad Datu.

“Ia menyebabkan pemandu disyaki terlelap ketika memandu dan hilang kawalan lalu terlanggar sebatang pokok.
“Kemalangan membabitkan tujuh sekeluarga dan meragut dua nyawa iaitu seorang wanita dan anaknya berusia dua bulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta iaitu suami kepada mangsa turut mengalami kecederaan patah tangan kiri dan empat penumpang yang lain hanya mengalami cedera ringan.
“Pemandu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis menasihatkan terutama sekali kepada semua pengguna jalan raya yang balik beraya ke kampung masing-masing supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati.
“Sekirannya mengantuk, berehatlah sekejap untuk menghilangkan letih sebelum meneruskan perjalanan,” katanya. – Info X