KINABATANGAN: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki menikam isterinya dengan pisau hingga mati dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.55 pagi itu, suspek berusia 75 tahun yang juga warga Filipina itu dipercayai bertindak di luar kawalan kerana marah berikutan masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, pihaknya menerima laporan itu sebaik salah seorang anak mangsa menghubungi pihak polis.
Katanya, siasatan awal mendapati, ketika mangsa berusia 65 tahun yang merupakan warga tempatan berada di ruang tamu rumah, suami yang juga suspek datang dengan membawa sebilah pisau.
“Suslek secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa (isteri) di bahagian pangkal leher.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ravi berkata, bertindak atas laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan telah ke tempat kejadian dan berjaya memberkas suspek.
“Sebilah pisau berukuran hampir 35 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Keterangan awal daripada saksi-saksi bebas mendedahkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik perceraian antara mangsa dan suspek,” katanya.
Tambah beliau lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duckess Of Kent, Sandakan untuk proses bedah siasat.
“Suspek seorang penganggur kini ditahan di IPD Kinabatangan dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X