Search

Desa Group komited kekal piawaian keselamatan, kualiti makanan tertinggi

April 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: DESA Group tetap komited dalam mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti makanan yang tertinggi.

Dalam satu kenyataan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu berkata, pihaknya akan terus berusaha memberikan perkhidmatan makanan yang “Segar, Bersih dan Halal” kepada pengguna.

Mereka turut memberi penjelasan berhubung satu posting di Facebook oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM pada
23 Mac lalu, berkaitan dengan rampasan ayam sejuk beku “tanpa dokumentasi
yang sah”.

“Posting tersebut secara cuai menyertakan imej produk DESA, yang turut dikongsikan semula oleh Sabah Sin Chew Daily dan INFO X.

“Kami ingin menjelaskan bahawa produk ayam DESA tidak terlibat dalam rampasan ayam sejuk beku yang dilaporkan dan hanya menggunakan perkhidmatan Transporter luar untuk penghantaran produk ayam kami ke Pantai Timur,” katanya.

Kenyataan itu berkata, penyertaan imej produk DESA dalam posting berkenaan tanpa konteks yang jelas adalah mengelirukan dan memberi gambaran salah terhadap jenama DESA.

Katanya, sebagai sebuah GLC Sabah, DESA Group ialah pengeluar ayam tempatan yang berintegrasi sepenuhnya, memiliki ladang ternakan ayam dan kemudahan kilang pemprosesan sendiri, yang telah diakreditasi dengan MyGAP, Veterinary Health Mark (VHM), dan pensijilan Halal.

Selain itu, katanya, DESA Group tidak terlibat dalam pengendalian atau pengurusan daging ayam import.

“Susulan permintaan kami, pihak-pihak yang terlibat telah memperbetulkan posting media sosial mereka.

“Namun, tindakan asal mereka telah menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan pelanggan setia kami. Kami amat kesal atas sebarang keresahan yang mungkin timbul akibat insiden ini.

“Kami menghargai sokongan serta kepercayaan yang berterusan daripada pelanggan setia kami,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Info X turut menyiarkan artikel berhubung satu rampasan ayam sejuk beku namun imej rampasan telah dikaburkan dan tidak pernah memetik mana-mana nama syarikat. – Info X