KOTA KINABALU: Polis berjaya mematahkan rangkaian pengedaran cecair mushroom hasil daripada maklumat yang diterima daripada Aduan QR Masyarakat.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan sebuah kereta Perodua Viva di kawasan Bandar Prima, Batu 4, Sandakan pada jam 11.30 malam, 7 April lalu.
Sebaik ditahan, pasukan operasi menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan menemui satu paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphethamine.
Pemeriksaan lanjut kemudiannya tiga botol plastik lutsinar mengandungi 10ml cecair vape yang disyaki mengandungi dadah merbahaya.
Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam aktiviti menjual cecair mushroom sejak sebulan yang lalu dan mendapatkan bekalan daripada seorang individu.
Susulan maklumat berkenaan, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun di kawasan Bandar Indah Jaya, Batu 4, Sandakan.
Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas 0.85 gram syabu dan 205 mililiter cecair vape bernilai RM210.
Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – Info X