Search

Lelaki mengamuk dengan parang ditahan polis

April 10, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk dan mengugut ahli keluarganya di sebuah rumah di Taman Sri Titingan, di sini, ditahan polis, Selasa lalu.

Kejadian jam 6.20 petang itu, suspek warga tempatan berusia 27 tahun bertindak diluar kawalan sehingga mencetuskan ketakutan ahli keluarganya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditahan pada jam 8.15 malam, hari yang sama. Polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 20 sentimeter serta sarung yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan dalam insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X