KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan perlombongan mineral di Sabah.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata Hajiji sudah dipanggil dua kali untuk memberikan kenyataan kepada agensi itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang ditanya SPRM dalam siasatannya ketika mengambil kenyataan daripada Ketua Menteri.
“Beliau memberikan kerjasama dari awal dahulupun dan kita telah mengambil kenyataan daripada Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri).
“Jadi, di sini, kita (SPRM) tidak ada sebarang (tindakan) untuk melindungi sesiapa. Kita ‘transparent’ dalam menjalankan siasatan.
“Walaupun Ketua Menteri, beliau juga dihubungi untuk memberikan kenyataan, tapi apa yang dinyatakan itu saya tidak boleh dedahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, di sini, pada Khamis.
Azam turut mengesahkan Ketua Menteri tidak terbabit dalam sebarang video dakwaan rasuah disebarkan sebelum ini yang kini masih dalam siasatan SPRM. – Info X