KOTA KINABALU: Aset penting termasuk helikopter perlu disediakan bagi memenuhi keperluan logistik menghadapi bencana alam di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin, berkata kejadian banjir di pedalaman, khususnya di Nabawan baru-baru ini membuka mata pentingnya kemudahan logistik bagi membantu mangsa.
Katanya, agensi yang diberi tanggungjawab menangani situasi bencana perlu dilengkapkan dengan kemudahan logistik yang sesuai dengan keadaan muka bumi di pedalaman, termasuk helikopter.
“Cadangan dan harapan saya agar Nabawan sebagai kawasan pedalaman di negeri ini sekurang-kurangnya dibekalkan keperluan jentera logistik seperti helikopter, bot dan kenderaan pacuan empat roda yang sesuai.
“Oleh yang demikian, saya merayu agar agensi-agensi kerajaan di Nabawan seperti PDRM, bomba APM, RELA dan yang lain dibekalkan dengan aset kelengkapan yang bersesuaian untuk berdepan dengan bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.
Abdul Ghani berkata Nabawan dilanda bencana banjir luar biasa baru-baru ini yang mencatat sejarah daerah kerana belum pernah berlaku banjir besar yang menenggelamkan banyak kampung sebelum ini.
“Ttapi kali ini daerah Nabawan terpaksa menerima hakikat pahit bahawa bentuk muka bumi yang berbukit bukau tidak menjamin sesebuah kawasan tidak dilanda banjir.
“Kami akur dan bertawakal menganggap ini adalah ujian dan ketentuan dari Ilahi. Musibah banjir telah membuka mata dan menginsafkan kita pentingnya keseimbangan ekosistem yang mesti dipelihara dan dipulihara untuk kesejahteraan bersama.
“Apa yang lebih menyedihkan apabila musibah ini terjadi, barisan hadapan atau pasukan penyelamat di kawasan saya tidak mempunyai aset dan kelengkapan yang mencukupi untuk tugas menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.
Beliau mencadangkan kementerian berwajib dan agensi kerajaan berkaitan dapat menyenaraikan projek pembersihan dan mendalam serta melebarkan Sungai Nabawan yang semakin cetek disebabkan kemungkinan ada laluan air sungai tersumbat dan berlaku runtuhan.
“Begitu juga di sepanjang Sungai Loggongon dari Pagalungan hingga ke Kampung Bantul, Pagalungan, berdekatan dengan sempadan Malaysia dan Indonesia yang perlu dilakukan kerja pembinaan tebing sungai terutama berhampiran kawasan perkampungan,” katanya.
Abdul Ghani berkata, laporan merekodkan kira-kira 30 kampung terjejas membabitkan seramai 687 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Pengalaman kali ini mengajar kita untuk lebih bersedia, maka dengan itu, perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri adalah kita perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan kelengkapan atau aset yang mencukupi untuk daerah di negeri ini yang dilanda banjir khususnya untuk kawasan pedalaman,” katanya. – Info X