KOTA KINABALU: Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Sabah yang ditawarkan secara percuma kepada penduduk Sabah tidak membabitkan orang tengah atau ejen luar.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata skim itu dikendalikan secara langsung oleh syarikat Progressive Insurance Bhd membabitkan premium RM50 juta bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028.
Katanya, pendekatan itu bagi memastikan ketelusan, keberkesanan pelaksanaan dan penjimatan kos, seterusnya memaksimumkan manfaat kepada rakyat Sabah yang layak menerima perlindungan di bawah skim berkenaan.
“Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Sabah ini adalah insurans perlindungan diri akibat kemalangan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk rakyat negeri ini sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga mengakibatkan kematian dan hilang upaya sebahagian atau kekal disebabkan kemalangan.
“Pelaksanaan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok ini akan menggunakan kaedah ‘tanpa nama’ di bawah Polisi Induk Insurans. Melalui pendekatan ini, pendaftaran individu sebagai peserta insurans tidak diperlukan.
“Sebaliknya, warga negara Sabah yang layak akan dilindungi secara automatik, tertakluk kepada syarat-syarat perlindungan yang akan diperincikan dan dimaklumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.
Masidi berkata berkata, skim itu memudahkan akses perlindungan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman serta memastikan tiada warga negara Sabah yang tercicir daripada manfaat skim berkenaan.
Jelasnya, skim polisi insurans tanpa nama bukan satu perkara yang baharu memandangkan ia turut dilaksanakan dalam pelbagai skim perlindungan.
Contoh terdekat katanya ialah insurans yang disediakan kepada pendaki Gunung Kinabalu yang mana pendaki tidak perlu mendaftar secara langsung dengan syarikat insurans.
Sementara itu, Masidi berkata pelaksanaan skim itu mengambil kira data kemalangan membabitkan rakyat Sabah yang menunjukkan peningkatan membimbangkan dari tahun ke tahun.
Katanya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), insiden kemalangan meningkat hampir 60 peratus dalam tempoh lina tahun kepada 20,828 kes pada tahun lalu berbanding 12,987 kes pada 2020.
“Lebih membimbangkan, jumlah kemalangan maut juga meningkat daripada 195 kes pada 2020 kepada 282 kes pada 2024, manakala jumlah mangsa yang terkorban meningkat daripada 220 kepada 319 orang dalam tempoh yang sama,” katanya.
Inisiatif itu katanya menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh, menjaga kebajikan rakyat dan meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga mangsa, khususnya golongan kurang berkemampuan dan isi rumah B40. – Info X