Search

PRN17 sebelum November 2025

April 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dijangka diadakan sebelum November depan.

Jangkaan itu berdasarkan jawapan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenai bila PRN17 diadakan apabila menyebut kerajaan pimpinannya mempunyai tempoh hingga November depan.

“Kerajaan sekarang mempunyai tempoh hingga November depan. Ianya diambil apabila kita mula mengadakan sidang DUN selepas pilihan raya yang lalu.

“Jadi, sebelum sampai sanalah tempoh itu,” katanya ditemui pemberita sejurus tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan DUN Sabah, di sini, petang Khamis.

Hajiji ditanya sama ada Persidangan DUN kali ini adalah yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN17.

Beliau secara berseloroh menyebut mahu bermimpi dulu sebelum menjelaskan bahawa beliau perlu membincangkannya bersama semua parti yang membentuk kerajaan negeri.

“Kita kena bincang dengan rakan-rakan parti komponen pandangan masing-masing. Nanti kita akan bermesyurat bukan saja GRS tetapi juga rakan kita dalam kerajaan, iaitu PH Plus.

“Jadi barulah selepas itu kita putuskan bila kita mahu mengadakan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS membayangkan kerjasama GRS-PH kekal walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah sudah mengumumkan gabungan dengan PH bagi menghadapi PRN17.

Ia berdasarkan jawapan ADUN Sulaman itu yang menganggap pengumuman BN Sabah itu hanya pandangan parti berkenaan.

Beliau menegaskan, GRS sebagai parti yang menerajui kerajaan pada hari ini mempunyai pendiriannya sendiri.

“Ya, itu BN punya pandangan. Kita kerajaan, kita sekarang adalah kerajaan negeri pada hari ini, jadi itulah pendirian kita (kerjasama GRS-PH).

“Tapi, untuk kebaikan negeri dan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan, pintu perbincangan dengan parti yang lain.

“Yang penting ianya memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri. Kita harus bersatu padu, kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk kebaikan kita semua. Itulah harapan saya, asalkan memberi kebaikan kepada kita.

“Jangan lupa kadang-kadang ada orang yang cakap tetapi kita adalah kerajaan pada hari ini. Kita yang akan menentukan hala tuju kerajaan yang ada ini,” katanya. – Info X