PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangka langkah khusus mewujudkan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula 1 Mei ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata syor itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac 2025 sebagai langkah menangani isu bekalan gula di ketiga-tiga wilayah.
“Susulan daripada keputusan tersebut, KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada kedua-dua syarikat pengilang di Semenanjung iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.
“Jumlah stok penimbal yang ditetapkan adalah pada kadar 1,000 metrik tan (1 juta kilogram) untuk keperluan di Sabah dan WP Labuan serta 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sarawak secara berperingkat bermula 1 Mei 2025,” katanya, di sini.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memantau dan memastikan bekalan barangan keperluan harian rakyat sentiasa mencukupi di pasaran terutama ketika permintaan meningkat pada musim perayaan.
Langkah itu, katanya penting kerana bekalan yang mencukupi juga akan mempengaruhi penawaran harga berpatutan di pasaran.
“Mengambil kira terdapat bekalan barangan keperluan harian di Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang bergantung sepenuhnya dari Semenanjung, langkah khusus perlu dilaksanakan untuk menangani isu gangguan bekalan.
“Antara barangan yang terbabit adalah gula putih bertapis yang keseluruhan bekalan diperolehi dari Semenanjung disebabkan tidak wujud pengilang di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.
“Ini mengakibatkan berlaku gangguan bekalan gula putih bertapis pada masa tertentu seperti gangguan serius yang pernah terjadi pada Ogos hingga Oktober 2023.
“Ini ditambah dengan faktor logistik iaitu penghantaran bekalan melalui
perkapalan dari Semenanjung yang memerlukan masa lima hari ke Sarawak dan tujuh hari ke Sabah,” katanya.
Armizan berkata, selain penyediaan stok penimbal, Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan tambahan untuk subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan.
Katanya, peruntukan itu yang disediakan kini adalah sebanyak RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.
“Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac 2025 juga bersetuju untuk KPDN menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga.
“Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh kementerian, jabatan, agensi serta pemain-pemain industri berkaitan yang akan bersidang sekurang-kurangnya enam kali setahun.
“KPDN berharap usaha bersepadu ini akan terus berupaya menangani isu-isu berkaitan kos sara hidup, kestabilan bekalan dan harga secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X