PENAMPANG: Projek naik taraf Jalan Donggongon-Tambunan bernilai RM299.76 juta, di sini, yang mengalami kelewatan dijangka dapat dipercepatkan selepas isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti selesai.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek yang dimulakan pada 25 Oktober 2022 dan dijangka siap pada Oktober 2026 itu baru mencapai kemajuan 13.06 peratus.
Katanya, kelewatan itu berpunca daripada proses pengambilan tanah dan pemindahan utiliti yang memakan masa panjang, membabitkan bayaran pampasan kira-kira RM70 juta terhadap 144 pemilik tanah dan struktur binaan di sepanjang jajaran projek berkenaan.
“Projek ini ketinggalan dalam jadual, diberi lanjutan masa (EOT) dan kita dapati masalah yang agak besar mengakibatkan kelancaran terganggu adalah kerana pengambilan tanah.
“Bagaimanapun, kita sudah bincang langkah seterusnya dengan memanggil mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Ekonomi dan pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan isu ini segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena tinjauannya di projek terbabit yang turut dihadiri Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Limus Jury.

Alexander berkata, projek itu yang bermula dari Persimpangan ITCC Penampang ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting, di sini bakal meningkatkan tahap perkhidmatan jalan (LOS) daripada LOS E kepada sekurang-kurangnya LOS C ketika waktu puncak.
Skop projek itu ialah menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang – Tambunan dari ITCC ke Balai Polis Penampang daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 2.5 kilometer.
Ia turut merangkumi kerja menaik taraf jalan dari persimpangan Balai Polis ke persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong sepanjang 1.6 kilometer dan menaik taraf Jalan Penampang Lama daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 0.8 kilometer.
Selain itu, sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah sepanjang 580 meter, termasuk dua kemudahan khas pusingan U di bawah struktur bertingkat, dua jambatan konkrit di Sungai Kibabaig sepanjang 30 meter, tiga pusingan U di dua lokasi strategik serta satu jejantas pejalan kaki turut dibina di bawah projek itu. – Info X