Search

Masalah kewangan punca utama perceraian – JHEAINS

April 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Masalah kewangan dikenal pasti menjadi punca utama kes perceraian membabitkan pasangan muda Islam yang berlaku di Sabah.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata masalah itu menimbulkan pelbagai kesan kepada pasangan hingga akhirnya bercerai.

Katanya, bermula dengan masalah kewangan akan timbul masalah lain yang menjejaskan hubungan pasangan seperti ketidakfahaman suami isteri.

“Masalah kewangan itu akan membesar dan menimbulkan antaranya masalah ilmu, masalah persediaan, masalah mengenai ketidaksefahaman. Itu semua bermula dari kewangan, kebanyakannya bermula daripada kewangan, ia berkembang.

“Jadi kita mengharapkan dapat mengupas perkara ini supaya bakal pasangan mengambil berat mengenai isu-isu yang kita bangkitkan,” katanya.

Bakal pengantin yang mengikuti Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam di Wisma MUIS.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kesejahteraan Belia Madani: Mental, Fizikal dan Rohani dan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam, di sini, yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, di sini, pada Selasa.

Seminar itu disertai kira-kira 500 belia, termasuk bakal pengantin baharu.

Jumain berkata, masalah kewangan bermaksud berlaku ketidakstabilan kewangan selepas mendirikan rumah tangga.

“Sebab itu apabila mendirikan rumah tangga, pastikan kita disokong dengan ekonomi yang kukuh. Kalau tidak kukuh, tapi dia berusaha untuk mencari kecukupan hidupnya, rajin, tidak malas dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan statistik, katanya sebanyak 2,322 kes perceraian direkodkan di Sabah pada tahun lalu, manakala 2,499 kes pada 2023 dan 2,876 kes pada 2022.

Terdahulu dalam ucapannya, Jumain menyenaraikan beberapa punca perceraian dalam kalangan pasangan muda di negeri ini.

Selain berkaitan kewangan, punca lain katanya ialah ketidakserasian pasangan, sikap curang atau tidak jujur pasangan, keganasan rumah tangga, campur tangan keluarga dan tiada persefahaman.

Turut menjadi punca, katanya ialah masalah kesihatan mental, penyalahgunaan dadah dan alkohol, ketidakpuasan seksual, perkahwinan terlalu tua, tiada rasa tanggungjawab pasangan dan sikap lepas tangan menangani masalah rumah tangga.

“Tiada kerja tetap atau malas cari kerja, tahap pendidikan, malas cari ilmu, pandang rendah pasangan, ungkit kekurangan pasangan dan poligami juga menjadi punca perceraian,” katanya.

Sementara itu, Arifin mengingatkan belia di negeri ini yang mahu mendirikan rumah tangga supaya memahami tanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga.

“Ia bukan hanya menyediakan nafkah, pakaian dan keperluan harian tetapi yang paling penting dari aspek kesihatan emosi pasangan.

“Kita sedar sejak akhir-akhir ini masalah keluarga atau kea aduan runah tangga adalah disebabkan tekanan perasaan, emosi yang tidak stabil dan tidak dapat dikawal menyebabkan keruntuhan institusi keluarga yang semakin merunsingkan,” katanya. – Info X