Search

Bayi dalam kotak ditinggal di depan pintu rumah

April 22, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Tergamak seorang ibu sanggup memasukkan bayi perempuannya dalam kotak sebelum ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Brunei, Membakut, pagi tadi.

Bayi malang dianggarkan berusia 36 minggu itu ditinggalkan dengan pesanan ‘ada anak saya dalam kotak ini’ ‘tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermurahkan’ ditulis di penutup kotak.

Superintendan Wong Leong Meng.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang saksi mengatakan ada bayi ditinggalkan di dalam kotak dengan nota tolong jaga anak ini.

Katanya, hasil siasatan awal, saksi telah bangun tidur pada jam 5.40 pagi dan sedar ada sebuah motosikal jenis tidak pasti dengan nombor pendaftaran bermula huruf V warna putih berlegar di hadalan rumah namun tidak mengesyaki apa-apa.

Pesanan tertulis ‘ada anak saya dalam kotak ini’ ‘tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermurahkan’ ditulis di penutup kotak yang ditinggalkan di hadapan rumah berkenaan.

“Saksi sempat mengintai di tingkap dan penunggang motosikal terbabit terus beredar. Pada jam 6.10 pagi hari yang sama, ketika saksi ingin keluar rumah untuk bekerja, dia ternampak sebuah kotak di hadalan pintu rumah tertulis ‘ada anak saya dalam kotak ni. Tolong jaga anak saya semoga dipermurahkan rezeki’.

“Saksi kemudian memeriksa di dalam kotak itu dan menemui bayi bersama tuala dan limau nipis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bayi itu kemudian dihantar ke Wad Kanak-kanak Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Jantina bayi adalah perempuan dan dianggarkan berusia 36 minggu. Permohonan untuk mendapatkan sampel darah bayi dihantar dan sampel darah telah diambil oleh pihak hospital untuk tujuan ujian paterniti.

“Polis kini mengesan ibu bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Info X