Search

Inderasabah terima RM1 juta untuk program Kampung Angkat MADANI

April 22, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Kampung Inderasabah, di sini, menerima peruntukan RM1 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali, berkata ia adalah satu-satunya kampung di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) terpilih dalam program itu.

Beliau berkata, sebahagian besar peruntukan itu akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti menaik taraf pencahayaan jalan dan jeti, manakala selebihnya dimanfaatkan untuk pembangunan bukan fizikal.

Jelasnya, secara keseluruhan sebanyak tujuh projek dikenal di bawah inisiatif itu, termasuk pencahayaan lampu jalan di kawasan kurang terang dan menaik taraf jeti untuk kemudahan komuniti pesisir.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat membabitkan pelbagai agensi di Tawau serta agensi berkaitan di Sabah untuk menyelaras pelaksanaan program ini secara menyeluruh,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Induk Kampung Angkat MADANI Kampung Inderasabah, di sini, pada Selasa.

Katanya, ESSCOM turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi keselamatan bagi menangani isu jenayah rentas sempadan.

Selain itu, katanya, sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk manfaat golongan belia di kampung berkenaan.

Jamaluddin berkata, jika program kampung angkat Madani itu berjaya, Inderasabah akan dijadikan model untuk meluaskan inisiatif berkenaan ke kawasan lain seperti Kudat, Sandakan, Beluran dan Semporna.

Jelasnya, inisiatif itu sejajar dengan moto ESSCOM, iaitu ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’ agar rakyat bukan saja merasa selamat, malah mendapat akses pembangunan yang inklusif.

Sementara itu, katanya Sekolah Kebangsaan (SK) Lihak-Lihak, Semporna dipilih sebagai sekolah angkat Madani membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pemilihan kampung itu selaras dengan hasrat kerajaan memastikan komuniti luar bandar tidak terpinggir. – Info X