KIULU: Laluan utama Tamparuli-Kiulu sekali lagi terputus susulan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan pada Selasa.
Kejadian di KM2.45 Jalan Tamparuli – Kiulu itu menjejaskan pergerakan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Berikutan itu Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran terpaksa menutup laluan berkenaan atas faktor keselamatan dan untuk memberi laluan kepada kerja pembaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang turun meninjau di laluan berkenaan menggesa JKR segera mewujudkan laluan sementara bagi memudahkan pergerakan orang ramai tanpa menjejaskan kerja-kerja pembaikan struktur jalan yang runtuh.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi penduduk Kiulu berikutan penutupan laluan ini.
“Saya berharap laluan sementara dapat disiapkan secepat mungkin, demi keselesaan pengguna terutama mereka yang bekerja di luar Kiulu serta murid-murid yang perlu ke sekolah,” katanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar itu turut melahirkan kebimbangan terhadap impak insiden itu terhadap sektor pelancongan yang menjadi antara nadi ekonomi masyarakat di Kiulu.
“Kita tidak mahu sektor pelancongan Kiulu terjejas. Laluan ini penting untuk pelancong mengakses kawasan-kawasan eko-pelancongan di sini,” katanya.

Katanya, pihak JKR dan kontraktor sudah memberi jaminan untuk membina laluan sementara secepat mungkin.
Beliau berkata pertemuan berkala bersama Pengarah JKR dan Jurutera Daerah sentiasa diadakan bagi memastikan tindakan susulan terhadap pelbagai isu berkaitan kerosakan jalan sepanjang laluan utama Kiulu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Saya faham cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pihak JKR kerana mereka turut berdepan masalah sama di lokasi lain, tapi saya berharap agar penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk Kiulu,” katanya.
Joniston menegaskan beliau akan terus memantau secara dekat perkembangan kerja-kerja pembaikan jalan serta memastikan semua pihak berkaitan memainkan peranan masing-masing.
Katanya, ketika sesi libat urus terbaru bersama pihak JKR Tuaran, beliau telah meminta agar pemantauan lebih kerap dilakukan di sepanjang laluan utama di Kiulu.
“Ini penting supaya tanda-tanda awal tanah runtuh dapat dikesan dan tindakan awal boleh diambil bagi mengelakkan insiden lebih buruk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa penduduk Kiulu agar berhati-hati ketika menggunakan jalan alternatif sementara menunggu kerja pembaikan siap sepenuhnya.
Jalan alternatif yang boleh dilalui adalah Jalan KK-Kudat, Jalan Stesen TV Lawa Mandau, Jalan Bungoliu Logkou Timbok, Jalan Kiulu Logkou Lama dan Jalan Kiulu Lawa Mandau – Pekan Kiulu. – Info X