Search

Projek LPB: Kenapa baru sekarang tubuh jawatankuasa? – Suhaimi Nasir

April 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mempersoalkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pemindahan utiliti projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu yang baru dilakukan sekarang setelah bertahun-tahun projek berkenaan dimulakan menunjukkan kelemahan kerajaan negeri.

Katanya, jawatankuasa itu sepatutnya sudah diwujudkan ketika projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dimulakan dan bukannya setelah berlaku kelewatan kritikal terhadap projek mega terbabit.

“Saya memandang serius kenyataan Datuk Ir Shahelmey Yahya berhubung penubuhan dua jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti dalam projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

“Walaupun langkah ini dilihat sebagai satu usaha, ia sebenarnya membuktikan kelemahan kerajaan negeri dan kementerian dalam merancang serta melaksanakan projek mega ini dari awal lagi.

“Setelah bertahun-tahun rakyat menunggu projek ini disiapkan, barulah kini tindakan penubuhan jawatankuasa dipertimbangkan sedangkan masalah seperti pengambilan tanah dan pemindahan utiliti sudah diketahui umum sejak projek ini diumumkan lagi.

“Adakah ini bermakna kerajaan negeri hanya bertindak selepas kelewatan menjadi kritikal? Soalnya, di manakah pelan tindakan awal dan penyelarasan rapi yang sepatutnya dilakukan sebelum projek ini dimulakan?,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan dua jawatankuasa ditubuhkan, masing-masing bagi mempercepat pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

Jawatankuasa itu, katanya diwujudkan sejak kira-kira dua bulan lalu dan ia antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa pemandu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dipengerusikannya bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada awal minggu lalu.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata mempersoalkan keberkesanan jawatankuasa yang ditubuhkan itu, memandangkan sebelum ini pelbagai jawatankuasa lain sudah diwujudkan tanpa sebarang perubahan ketara terhadap kemajuan projek.

“Kita tidak mahu jawatankuasa ini sekadar menjadi alasan untuk menutup kelemahan pentadbiran dan melepaskan tanggungjawab.

“Saya menuntut ketelusan penuh dalam perjalanan projek ini. Kerajaan negeri perlu mendedahkan jadual terkini pembinaan, butiran kos tambahan akibat kelewatan serta memastikan semua kontraktor dan agensi berkaitan bertanggungjawab,” katanya

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah cukup bersabar dan tidak mahu mendengar alasan demi alasan berhubung kelewatan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Jelasnya, apa yang rakyat mahu adalah lebuh raya itu disiapkan dengan segera dan selamat kerana ia bukan saja projek pembangunan, malah menjadi nadi ekonomi dan kesejahteraan negeri. – Info X