Search

Ekonomi zaman Warisan lebih baik berbanding GRS – Shafie Apdal

May 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa pertumbuhan ekonomi Sabah yang diumumkan kerajaan negeri, baru-baru ini masih rendah berbanding pencapaian ketika kerajaan Warisan pada 2019.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, berdasarkan statistik rasmi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah bagi tahun 2023 berjumlah RM83.2 bilion, namun lebih rendah berbanding RM85.6 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019 ketika pentadbiran Warisan.

Katanya, angka yang ditunjukkan dalam statistik KDNK pada 2023 itu menjadikan Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang belum pulih ke tahap ekonomi pra pandemik.

“Pada 2019, ketika Warisan menerajui kerajaan negeri, KDNK Sabah mencecah RM85.6 bilion iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri ini.

“Pencapaian itu adalah lonjakan ketara daripada RM79.7 bilion pada 2017, sekali gus membuktikan pertumbuhan kukuh dalam tempoh dua tahun sahaja.

“Namun, selepas pertukaran tampuk pemerintahan pada 2020, ekonomi Sabah merosot dengan mendadak apabila KDNK jatuh kepada RM77.8 bilion.

“Sehingga 2023, pemulihan ekonomi masih belum mencapai tahap sebelum ini dengan jumlah KDNK hanya mencecah RM83.2 bilion, masih rendah RM2.45 bilion berbanding rekod tertinggi yang dicapai ketika era pentadbiran Warisan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dengan KDNK meningkat kepada RM83.2 bilion pada 2023, berbanding RM82.1 bilion pada 2022.

Mengulas lanjut, Shafie berkata selain pertumbuhan ekonomi yang belum mencapai paras sebelum pandemik, kadar pengangguran di negeri ini juga meningkat secara ketara.

Pada 2019 katanya, jumlah penganggur di Sabah ialah seramai 114,300 orang, namun angka itu melonjak kepada 165,600 orang pada 2023, menunjukkan peningkatan lebih 50,000 penganggur.

“Keadaan ini membuktikan bahawa peluang pekerjaan yang diwujudkan di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih jauh daripada mencukupi.

“Ketika Warisan menerajui kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020, ekonomi Sabah terus mencatat pertumbuhan setiap tahun meskipun berdepan cabaran getir seperti pandemik COVID-19.

“Dalam tempoh dua tahun lebih, kami berjaya merintis pelbagai pencapaian ekonomi yang dapat diukur. Sebaliknya, GRS yang sudah memerintah lebih empat tahun masih gagal memperlihatkan hasil yang setimpal,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, antara pendekatan utama Warisan ketika pentadbirannya ialah memperkasa sektor hiliran supaya Sabah tidak sekadar menjadi pengeksport bahan mentah tetapi turut terbabit dalam pengeluaran produk bernilai tambah.

Usaha itu, katanya bertujuan memastikan kekayaan negeri kekal di Sabah dan dapat dinikmati oleh rakyatnya sendiri.

Shafie berkata, beberapa projek juga berjaya dilaksanakan ketika pentadbiran Warisan, antaranya pengeluaran Minyak Masak BESS di Tawau yang mana kilangnya yang mula beroperasi pada awal 2020 oleh Benta Wawasan Sdn Bhd menjadi jenama minyak masak tempatan pertama di Sabah.

Katanya, kilang itu menghasilkan 2,000 metrik tan minyak masak sebulan, membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar dari Semenanjung.

“Kemudian minyak masak GOLD di Sandakan yang dikeluarkan hasil usahasama antara Sawit Kinabalu dan Intipati Minyak Sdn Bhd yang memproses minyak sawit mentah menjadi produk pengguna siap guna, seterusnya menambah nilai di peringkat tempatan.

“Seterusnya, minyak masak Onsoi di Keningau turut dilaksanakan hasi usaha Sabah Land Development Berhad (SLDB) melalui Sabaras Sdn Bhd yang mana kilangnya dirasmikan pada September 2020 untuk membekal minyak masak mampu milik kepada penduduk luar bandar serta menyediakan peluang pekerjaan setempat.

“Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Warisan untuk mengubah struktur ekonomi negeri kepada ekonomi berasaskan nilai tambah dan penciptaan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti,” katanya.

Malah, katanya dalam keadaan kewangan yang terbatas, kerajaan Warisan berjaya melunaskan sepenuhnya bon RM1 bilion diterbitkan pada 2014 yang diwarisi daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN), iaitu lebih awal daripada tarikh matang pada 9 Disember 2019.

Jelas Shafie, langkah itu membuktikan iltizam Warisan dalam mengurus kewangan negeri secara berhemah walaupun dalam suasana ekonomi dunia yang mencabar.

“Malangnya, selepas kejatuhan kerajaan Warisan, momentum pembangunan itu terhenti. Kerajaan GRS bukan saja gagal meneruskan inisiatif itu, malah tidak menampakkan kesungguhan untuk memperkasakannya,” katanya.

Shafie yang juga ADUN Senallang berkata, GRS masih bergantung kepada pendekatan lama iaitu eksploitasi sumber mentah tanpa inisiatif kukuh untuk membina industri berasaskan pemprosesan dan kepelbagaian ekonomi yang mampan.

Katanya, walaupun sering melaungkan peruntukan dan rancangan daripada Kerajaan Persekutuan, hakikatnya statistik menunjukkan ekonomi Sabah masih lesu.

“Anak muda kita masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan. Ramai keluarga pula hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Justeru, saya menyeru rakyat Sabah agar menilai prestasi pemimpin bukan berdasarkan janji dan retorik politik semata mata tetapi berasaskan pencapaian sebenar yang boleh diukur.

“Warisan kekal komited dalam usaha membina sebuah Sabah yang adil, bersatu dan berdaya saing dari segi ekonomi, kekayaan negeri ini mesti memberi manfaat kepada rakyat tempatan terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, kejayaan ekonomi sebenar bermaksud lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan jaminan masa depan yang lebih cerah kepada generasi akan datang dan bukan projek terbengkalai atau pengumuman berulang. – Info X