KOTA KINABALU: Daerah Beaufort sekali lagi dilanda banjir susulan hujan lebat dan limpahan air dari hulu Sungai Padas serta beberapa kawasan di pedalaman yang turut dinaiki air.
Pengisytiharan bencana banjir untuk kesekian kalinya sejak Januari lalu dibuat Pegawai Daerah, Mohd Nazri Ajun pada jam 9 pagi ini selepas beberapa kawasan rendah dinaiki air termasuk di pekan Beaufort.
Serentak dengan itu juga pusat pemindahan kekal di Dewan Selagon dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang bakal dipindahkan berikutan situasi banjir terkini yang dilihat mengancam keselamatan penduduk.
Bencana banjir turut diisytiharkan di daerah Sook dengan seramai 392 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu setakat pagi ini.

Selain itu, banjir turut dilaporkan di beberapa kawasan rendah di Tenom. – Info X