PAPAR: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM5 juta untuk meningkatkan kemudahan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, di sini.
Peruntukan itu bagi membina dewan baharu gereja St Joseph dan menaik taraf infrastruktur di sekitar Dewan Kampung Marahang, Limbahau.
Jumlah itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai maklum balas terhadap permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Selain itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut bersetuju untuk mengagihkan sebahagian tanah milik yayasan itu kepada penduduk Kampung Gana dan sekitarnya.
“Kita adalah kerajaan untuk semua rakyat Sabah, kita bersikap adil kepada rakyat Sabah. Kita bukan mencari pujian diri tetapi buktinya semua ada untuk dilihat.

“Kita membawa pembangunan bukan hanya untuk orang tertentu tetapi kepada semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Papar di Kampung Marahang, Limbahau, di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) turun padang dan menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi apa yang dilakukan kerajaan.
Sementara itu, katanya Kaamatan adalah landasan untuk rakyat menyemarakkan hubungan baik dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sabah.
Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan pengarah Yayasan Sabah yang juga ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar. – Info X