KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan kadar pengangguran tinggi yang direkodkan di Sabah ketika ini sebagai perkara yang membimbangkan.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata 7.7 peratus yang dilapor pada suku keempat 2024 masih tinggi walaupun pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan negeri.
Beliau turut membandingkan kadar itu dengan 5.9 peratus yang direkodkan ketika Sabah ditadbir Barisan Nasional (BN) pada 2017.
“Saya tidak menolak usaha kerajaan, namun sebagai pihak bertanggungjawab, UMNO Sabah perlu menyatakan hakikat sebenar yang tidak boleh diselindungkan dengan angka indah semata-mata kerana isu pengangguran dan pertumbuhan ekonomi adalah indikator jelas dalam menilai prestasi sebenar kerajaan yang memerintah.
“Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah kekal sebagai negeri dengan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia.
“Pada suku keempat 2024, seramai 178,000 rakyat Sabah atau 7.7 peratus tidak mempunyai pekerjaan, jauh lebih tinggi berbanding Sarawak (3.3 peratus), Kedah (1.7 peratus) dan Kelantan (3.8 peratus).
“Walaupun berlaku sedikit penurunan berbanding 2022 (9.1 peratus), angka ini masih membimbangkan.
“Sebagai perbandingan, kadar pengangguran Sabah pada suku pertama 2017 hanyalah 5.9 peratus (111,000 orang) ketika negeri ini ditadbir oleh BN di bawah kepemimpinan Tun Musa Aman pada masa itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada 2017, Sabah mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia iaitu 8.2 peratus (RM83.8 bilion), mengatasi purata nasional.
Katanya, ia menunjukkan pentadbiran ketika itu berjaya membina asas ekonomi yang kukuh, menarik pelaburan langsung asing dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
“Sebaliknya, sejak peralihan kuasa kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tiada lonjakan ketara yang dapat dibanggakan. KDNK Sabah hanya diunjurkan naik sekitar 2.1 peratus pada 2024 jauh ketinggalan berbanding pencapaian pada zaman Tun Musa Aman.
“Hakikat ini menunjukkan kegagalan kepemimpinan hari ini dalam membawa pembangunan yang bersifat mampan, strategik dan menyeluruh.
“Malah, kegagalan menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti menyebabkan ramai anak muda Sabah berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan, termasuk yang berpendidikan tinggi.
“Berita Harian melaporkan pada 2022, kira-kira 200,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung kerana kekurangan peluang setimpal di negeri sendiri.
“Kajian DOSM pula menunjukkan faktor utama penghijrahan ini ialah tawaran gaji yang lebih tinggi antara RM2,000 hingga RM4,999 di luar negeri,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, realitinya Sabah sedang kehilangan modal insan tenaga mahir dan profesional yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan negeri.
Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan kelemahan dasar, kegagalan perancangan ekonomi dan ketiadaan pelaburan berskala besar yang benar-benar berimpak tinggi.
“Walaupun pandemik COVID-19 memberi impak kepada seluruh negara, negeri lain telah pulih dengan lebih baik. Di Sabah, angka pengangguran kekal tinggi, projek mega tidak menyentuh rakyat dan dasar ekonomi masih statik.
“Malangnya, kerajaan negeri hari ini dilihat hanya bergantung kepada projek kerajaan terdahulu untuk menjawab soalan pembangunan apabila diasak oleh media atau rakyat.
“Oleh itu, saya menyeru agar rakyat Sabah membuka mata dan menilai prestasi sebenar pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor. Mengapa ketika era Tun Musa Aman, Sabah mampu mencipta pekerjaan dan melonjakkan ekonomi tetapi kini selepas lebih empat tahun GRS memerintah, pengangguran sangat tinggi,” katanya.
Bung Moktar berkata, beliau menuntut penjelasan yang jujur, bukan sekadar laporan di atas kertas kerana rakyat Sabah berhak mendapat kepemimpinan yang cekap, telus dan berwibawa. – Info X