Search

PRN17: GRS siap sedia tanding solo jika rundingan gagal

May 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menolak kemungkinan bertanding secara solo jika rundingan untuk membentuk kerjasama politik dengan gabungan lain gagal mencapai kata sepakat.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata perkara itu tidak mustahil jika berlaku perbalahan mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti yang berhasrat membentuk pakatan.

Katanya, situasi itu dijangka menyebabkan PRN17 bakal menjadi pertandingan terbuka untuk semua dan atas sebab itu, GRS bersiap sedia terhadap kemungkinan situasi berkenaan, termasuk bertanding solo.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS sudah menyatakan perkara berkenaan sebagai maklum balas selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kerjasama menghadapi PRN17.

“Hajiji sebelum ini mengatakan bahawa GRS bersedia bergerak sendiri selepas BN dan PH bersetuju membentuk kerjasama PRN17 yang mana ramai menyifatkannya sebagai satu penghinaan yang disengajakan terhadap GRS,” katanya dalam satu kenyataan.

Joniston berkata pertandingan terbuka untuk semua itu boleh menjadi satu rahmat, kerana senario sebegitu akan membolehkan rakyat Sabah memilih antara gabungan parti tempatan dan parti dari Semenanjung.

“Rakyat Sabah boleh menjadikan pilihan raya yang akan datang ini sebagai satu referandum untuk memilih di antara GRS yang berasaskan parti tempatan, UMNO-BN, PH dan Parti Warisan.

“Ini akan menjadi satu ujian yang jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin parti tempatan atau parti yang ibu pejabatnnya berada di Kuala Lumpur,” katanya.

ADUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, berkata GRS sudah membuktikan bahawa gabungan parti tempatan berkeupayaan menyampaikan pembangunan yang bermakna sambil mengekalkan kerjasama yang rapat dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri yang diketuai GRS selaku gabungan parti tempatan menikmati hubungan rapat dengan Putrajaya di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui hubungan rapat itu, katanya Sabah menikmati peningkatan geran tahunan daripada RM53 juta ketika di bawah kerajaan Warisan sebelum ini kepada RM600 juta di bawah GRS.

Contoh lain, katanya termasuk pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) di antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan PETRONAS yang membawa manfaat ketara kepada Sabah dan menambah pendapatan negeri.

“Hasil daripada tadbir urus yang baik dan strategi serta rancangan pembangunan berfokus di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), ditambah hubungan baik dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri meningkat kepada RM6.9 bilion, manakala rizab kerajaan hampir RM8 bilion,” katanya.

Joniston turut menekankan bahawa Sabah tidak memusuhi Persekutuan, namun beliau berpendirian Sabah perlu ditadbir sendiri oleh pemimpin yang tidak terikat dengan arahan dari luar. – Info X