TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah membayangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal bertanding sekurang-kurangnya 52 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, hanya 21 kerusi akan diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalin kerjasama dengan gabungan parti tempatan itu.
Katanya, GRS wajar diagihkan jumlah kerusi yang besar sejajar sentimen rakyat Sabah ketika ini yang dilihat lebih memihak kepada parti tempatan.
“Berdasarkan sentimen kuat rakyat Sabah kepada parti tempatan menjelang PRN kali ini saya jangakan kita bakal bertanding 52 kerusi jika Pengerusi GRS bersetuju mengenai cadangan itu.
“Selebihnya 21 kerusi bakal diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri Jelajah GRS di Kampung Mananam yang dihadiri kira-kira 700 penyokong GRS, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menyatakan keyakinan terhadap calon GRS mampu menjadi pertaruhan dominan bagi menyingkirkan calon pembangkang pada PRN17 nanti.
Beliau juga menegaskan GRS akan lebih berhati-hati menjalinkan hubungan kerjasama dengan parti lain berikutan peristiwa cuba menjatuhkan kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
Katanya, hubungan kerjasama politik dan pentadbiran kerajaan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini juga cukup baik dan ia boleh dikekalkan.
Masiung yakin, jika kesepakatan GRS dan PH diteruskan pada PRN17, gabungan itu diyakini mampu membentuk kerajaan negeri sekali lagi. – Info X