SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang cuba memasuki negara ini menggunakan dua bot di laut Pulau Boheian, di sini, semalam.
Kedua-dua bot masing-masing membawa 10 dan 15 penumpang berusia lingkungan tiga hingga 75 tahun ditahan PPM Semporna menerusi Operasi Taring Gelora.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya mengesan pergerakan masuk dua bot dari negara jiran.
“Pasukan serbuan kemudian menahan kedua-dua bot berkenaan dan hasil pemeriksaan terdapat 25 individu berada di atas dua bot itu.
“Akuan lisan daripada juragan bot dan penumpang, mereka mengaku dari Filipina masuk ke Semporna dan penumpang dikenakan sejumlah bayaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan sejumlah mata wang asing.
“Bot laju bersama penumpang ditahan kerana melakukan aktiviti lintas sempadan negara tanpa kebenaran. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM65,237.
“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen. – Info X