Search

Remaja lemas ketika mandi sungai bersama keluarga

May 31, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang remaja lelaki lemas ketika mandi-manda bersama keluarganya di sungai Kampung Pinipi Lanas, Sook, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 14 tahun ditemui oleh orang awam pada jam 5.15 petang di lokasi mangsa lemas sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.40 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Menurut pemanggil, mangsa dilaporkan lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda di sungai bersama keluarganya.

“Mangsa berjaya ditemui orang awam dengan kaedah menyelam pada jam 5.15 petang di lokasi sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas ketika mandi sungai di Kampung Pinipi Lanas, Sook, Keningau. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Info X