Search

UMNO Sabah sokong teguran PM isu jejaskan hubungan negeri-persekutuan

June 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyambut baik peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru agar semua pihak tidak membangkitkan isu yang boleh menghakis hubungan baik semata-mata mendapatkan manfaat politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata peringatan itu amat bertepatan dengan keperluan semasa Sabah untuk terus bergerak ke hadapan dengan semangat kestabilan, kematangan dan kesederhanaan.

Katanya, sejarah politik Sabah membuktikan bahawa sebelum penyertaan parti nasional, negeri ini sudah lama terperangkap dalam sistem yang pincang dan memecahbelahkan.

“Budaya politik ketika itu amat sempit dan bersifat ‘winner takes all’, di mana siapa menang akan membolot segalanya, manakala yang kalah bukan sekadar kehilangan kuasa, malah turut terpinggir sepenuhnya daripada arus pembangunan.

“Tiada budaya perkongsian kuasa atau perwakilan yang seimbang. Apa yang wujud hanyalah perebutan, pertelingkahan dan politik dendam kesemuanya merugikan rakyat.

“Malah, usaha awal untuk menyatukan kekuatan politik tempatan menerusi gabungan seperti USNO, UPKO dan SCA di bawah Sabah Alliance Party turut gagal apabila gabungan tersebut bersifat longgar, rapuh dan tidak mampu mengurus jurang antara komuniti bumiputera Islam dan bukan Islam secara konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Libaran itu, berkata Pilihan Raya Negeri pertama pada 1967 menyaksikan USNO dan UPKO bertembung secara langsung, bukan saja gagal bersepakat dalam pengagihan kerusi, malah bertarung dalam suasana penuh curiga.

Katanya, persaingan itu melahirkan perpecahan mendalam yang memanjangkan ketidaktentuan politik Sabah.

“Dalam keadaan inilah, kehadiran parti-parti nasional seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) membawa angin perubahan yang amat diperlukan.

“UMNO-BN bukan sekadar satu entiti politik dari Semenanjung, tetapi satu struktur yang membawa sistem, budaya dan pendekatan perkongsian kuasa yang lebih matang serta teratur,” katanya.

Beliau berkata satu contoh reformasi yang diperkenalkan ialah sistem penggiliran Ketua Menteri yang bertindak sebagai simbol keadilan politik.

Jelasnya, di bawah sistem itu, jawatan tertinggi negeri berputar antara wakil bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan masyarakat Cina, satu pendekatan yang bukan hanya simbolik, tetapi juga berfungsi sebagai jaminan penyertaan semua komuniti dalam pembangunan negeri.

“Parti-parti tempatan yang menyertai BN juga tidak hilang identiti, sebaliknya bergabung dalam lambang dacing simbol keadilan dan perpaduan.

“Parti seperti PBS, UPKO dan LDP yang dahulunya berada di blok lawan turut akhirnya menerima keperluan untuk bersama dalam kerangka nasional.

“Penyatuan ini membawa kepada kestabilan politik yang lebih kukuh, membuka laluan kepada pembangunan yang lestari,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan menjadi prasyarat kepada pelbagai pencapaian penting pembangunan rangkaian jalan ke kawasan pedalaman, sistem air bersih dan bekalan elektrik di kampung-kampung terpencil, serta penubuhan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ini semua hanya dapat dilaksanakan apabila Sabah berada dalam keadaan aman, tersusun dan saling menyokong antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa parti nasional telah menyelamatkan Sabah daripada terus hanyut dalam politik puak yang memecahbelahkan. Mereka membawa kestabilan dan sistem perkongsian kuasa yang lebih adil.

“Rakyat Sabah turut mendapat tempat dalam pentadbiran Persekutuan termasuk enam menteri penuh dan tujuh timbalan menteri dalam sejarah penyertaan Sabah dalam BN.

“Sebaliknya, ketika Sabah diperintah oleh parti-parti tempatan semata-mata, penyertaan Sabah dalam Kabinet Persekutuan menjunam hanya kepada satu menteri penuh dan satu timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya politik kenegerian terus dijadikan alat politik oleh sesetengah pihak demi keuntungan jangka pendek, Sabah berisiko kembali terjerumus dalam kitaran perpecahan yang pernah dialami dahulu.

“Justeru, penyertaan dalam arus nasional bukanlah bentuk penyerahan, sebaliknya strategi bijaksana demi masa depan negeri.

“Saya menyeru agar semua pihak berpolitik secara beradab dan berasaskan realiti sejarah. Usahlah berfikiran sempit dijadikan alat meraih undi, sebaliknya, bangunkan Sabah melalui kestabilan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan,” katanya. – Info X