KOTA KINABALU: Seekor lembu korban yang dilaporkan terlepas di Kingfisher Sulaman, di sini, malam tadi berjaya ditangkap semula selepas kira-kira enam jam operasi penangkapan dilakukan.
Pemilik lembu terbabit bersama penduduk taman dikatakan berusaha menangkap haiwan itu setelah terlepas pada jam 8 malam, namun gagal kerana bertindak agresif.
Berikutan itu, mereka mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Kinabalu yang kemudian tiba pada jam 12 tengah malam sebelum akhirnya berjaya ditangkap haiwan berkenaan pada jam 2.16 pagi tadi.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, enam anggota lengkap memakai PPE dan membawa peralatan tali menjalankan operasi menangkap lembu berkenaan.
“Selepas usaha hampir dua jam, akhirnya lembu jantan seberat kira-kira 300 kilogram berjaya ditangkap dan dikawal dengan menggunakan tali.
“Operasi turut dibantu penduduk taman perumahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, lembu itu selamat tanpa kecederaan dan diserahkan semula kepada pengadu.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 pagi,” katanya. – Info X