KOTA KINABALU: Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA) tampil membantu dalam usaha mengurangkan pencemaran bau menggunakan teknologi Effective Microorganisms (EM) di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini.
Inisiatif itu dijelaskan menerusi satu surat cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KEPKAS) yang menyatakan hasrat untuk mencuba teknologi itu bagi tempoh tiga bulan.
Presiden SEPA, Alexander Yee, berkata, ia adalah satu peluang baik bagi pihaknya untuk berkolaborasi dengan KEPKAS dalam usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan di pasar berkenaan.
“Kita menerima galakan daripada pihak menteri bagi memainkan peranan yang proaktif dalam mengekalkan kebersihan di ibu negeri selaras Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal tiba.
“Berikutan itu, saya mengetuai pasukan dari SEPA untuk melawat beberapa tapak di ibu negeri, termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu sebelum mengemukakan cadangan yang sesuai,” katanya, baru-baru ini.

Inisiatif SEPA itu menyusul selepas satu kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew pada April lalu.
Pada kunjungan hormat itu, mereka membincangkan hasrat SEPA untuk memperbaharui hubungan sebagai rakan dengan KEPKAS untuk manfaat bersama.
Alexander berkata, Pasar Besar Kota Kinabalu dipilih memandangkan ia menjadi kawasan tumpuan pelancong dan atas sebab itu tahap kebersihannya perlu dijaga dengan baik.
Beliau yakin penggunaan teknologi EM di Pasar Besar Kota Kinabalu mampu menambah baik masalah pencemaran bau di kawasan itu dalam masa tiga bulan. – Info X