KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang wanita di sebuah ladang di Jalan Tingkayu, Kunak, Jumaat lalu.
Mayat wanita warga Filipina berusia lingkungan 40-an itu ditemui orang awam dengan kesan tetakan di bahagian tubuhnya kira-kira jam 10.26 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak bersama Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) JSJ, Kontinjen Sabah menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, pada jam 11.30 pagi, Sabtu lalu, pasukan serbuan berjaya menahan dan menangkap seorang lelaki disyaki terbabit dalam kesan berkenaan di sebuah ladang di Kunak.

“Ketika serbuan, suspek sedang melakukan kerja di kawasan ladang sawit dan menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri.
“Berlaku pergelutan ketika proses tangkapan dilakukan sehingga suspek berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas sebilah parang dan pakaian yang digunakan ketika kejadian yang disembunyikan oleh suspek.
“Suspek warga asing berusia 51 tahun ditahan untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif pembunuhan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X