Search

ESSCOM tumpaskan sindiket penyelewengan barang kawalan bernilai RM334,440

June 18, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menumpaskan sindiket penyelewengan barang kawalan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM334,440 dalam Operasi Tiris.

Operasi pada 16 dan 17 Jun lalu, seramai tiga lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 37 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di dua lokasi sekitar Jalan Apas, di sini.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata operasi berkenaan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, serbuan pertama membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel yang disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai dengan tangki khas.

“Beberapa tong berisi diesel, dua kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit dan dokumen resit pembelian telah dirampas.

“Terdapat tiga lelaki di lokasi berkenaan turut ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi kedua pula, ESSCOM berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barangan menggunakan bot dari sempadan perairan Indonesia berhampiran kawasan jeti di Batu 3, Jalan Apas.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, juragan dan penumpang bot bertindak terjun ke laut meninggalkan bot bersama muatan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati terdapat seorang penumpang wanita warganegara Malaysia bersama beberapa barangan makanan tanpa dokumen pengisytiharan kastam.

“Bot dan enjin sangkut termasuk beberapa jenis bahan makanan serta sebuah lori mencurigakan berhampiran lokasi berkenaan turut dirampas,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Victor berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan, bersubsidi dan tidak bercukai.

Selain itu, katanya ia bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang boleh menggugat keselamatan, ketenteraman awam dan ekonomi negara di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“ESSCOM komited meneruskan operasi seumpama ini secara bersepadu dengan agensi berkaitan di daerah-daerah ESSZONE bagi memastikan kelangsungan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah Timur terpelihara.

“Saya menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau ancaman keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau menerusi WhatsApp di 011-63311072,” katanya. – Info X