Search

Cukai SST tambah beban rakyat Sabah

June 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dikhuatiri berdepan tekanan besar berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai depan.

Menyuarakan kebimbangan itu, Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal, berkata ia kerana rakyat negeri ini menanggung pelbagai kekangan ekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan.

Jelasnya, rakyat Sabah pada ketika ini sedang berjuang dalam realiti kehidupan yang tidak sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata pendapatan bulanan rakyat Sabah masih sekitar RM1,870, jauh di bawah purata nasional yang mencecah RM2,800.

“Ini adalah cerminan kepada ketidakseimbangan struktur ekonomi dan pasaran pekerjaan di negeri ini. Dengan kuasa beli yang begitu rendah, bagaimana mungkin rakyat mampu menampung kos tambahan yang bakal datang dengan peluasan SST?

“SST tidak salah pada dasarnya tetapi melaksanakannya secara tergesa-gesa dalam landskap ekonomi Sabah yang masih rapuh akan memberi impak yang amat besar kepada golongan paling rentan seperti ibu tunggal, peniaga kecil, petani desa, nelayan dan anak muda yang masih mencari tapak dalam dunia pekerjaan.

“Kita tidak boleh sekadar melihat angka makro tetapi perlu memikirkan makna setiap sen bagi rakyat marhaen yang kini bergelut untuk membeli susu anak atau membayar sewa rumah,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya banyak pihak di lapangan termasuk peniaga kecil dan pembekal masih keliru mengenai butiran pelaksanaan SST.

Katanya, ada yang tidak tahu produk mana dikenakan cukai lima peratus dan 10 peratus serta yang dikecualikan cukai sepenuhnya.

“Kekeliruan ini membuka ruang kepada tindakan tidak wajar peniaga yang dalam usaha untuk melindungi keuntungan, mungkin mengenakan kadar tertinggi kepada semua produk dan akhirnya beban itu kembali kepada pengguna.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan yang perlu dijawab oleh pihak kerajaan. Adakah kutipan hasil negara kini bergantung kepada poket rakyat miskin di Sabah?

“Apakah tiada strategi yang lebih adil dan mampan untuk merapatkan jurang fiskal tanpa mengenakan beban tambahan kepada negeri yang masih ketinggalan seperti Sabah,” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat negeri ini tidak menolak tanggungjawab sebagai penyumbang kepada pembangunan negara.

Namun, jelasnya pelaksanaan dasar cukai seperti SST harus berpaksikan keadilan wilayah dan kepekaan terhadap keunikan struktur ekonomi Sabah.

“Kita perlukan dasar yang inklusif dan progresif, bukan langkah regresif yang menekan golongan berpendapatan rendah semata-mata kerana mereka lebih mudah dikenakan cukai.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan peluasan SST di Sabah buat sementara waktu sehingga kajian impak yang menyeluruh dijalankan dengan penglibatan wakil industri, akademik dan masyarakat sivil di Sabah.

“Kita tidak boleh melaksanakan dasar nasional secara pukal tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi wilayah yang tidak sama rata,” katanya.

Ummi Nabilah turut menggesa kerajaan negeri Sabah agar segera merangka dasar ekonomi yang lebih strategik dan berfokus untuk mengurangkan impak pelaksanaan SST ini.

Katanya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemberian insentif sementara kepada usahawan kecil, penstrukturan semula subsidi barang asas dan peluasan bantuan bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak mampu untuk mengambil risiko terhadap kesan domino ekonomi yang akan memburukkan lagi jurang ketaksamarataan.

“SST ini bukan soal dasar semata, tetapi berkait rapat dengan kehidupan harian rakyat soal makan, soal kesihatan, soal masa depan anak-anak kita.

“Saya merayu agar kerajaan mendengar suara rakyat Sabah, bukan hanya dari angka di meja rundingan, tetapi dari denyut nadi rakyat yang merintih di pasar, di ladang dan di kampung-kampung,” katanya. – Info X