KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius tindakan peserta Perarakan Gempur Rasuah 2.0 yang membakar karikatur Perdana Menteri seperti tular di media sosial.
Menerusi satu kenyataan, universiti itu menjelaskan bahawa perbuatan berkenaan bertentangan dengan norma perhimpunan aman.
Katanya, pihak UMS juga melihat tindakan itu sebagai tidak beradab, kurang matang, sekali gus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi.
“UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam.
“Pihak UMS menegaskan bahawa UMS tidak terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan insiden ini,” katanya.
Berikutan itu, katanya pihak pengurusan universiti akan membuat satu laporan polis berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.
Sementara itu, katanya UMS juga amat kesal dengan pernyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Ia kerana pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS pada Isnin. – Info X