KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Datu Amir Kahar Tun Datu Mustapha dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Sabah sempena sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri, pada Jumaat.
Turut menerima anugerah yang sama ialah bekas ADUN Dilantik yang juga bekas Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datin Seri Norsuadah Basah.
Kedua-dua mereka menerima anugerah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada sambutan Maal Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Majlis itu turut dihadiri isteri TYT, Toh Puan Faridah Tussin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Juliah Salag.
Amir Kahar, 75, mewarisi bakat ayahnya, Tun Datu Mustapha Datu Harun yang juga Bapa Kemerdekaan Sabah dalam perjuangan untuk negeri ini.
Beliau menyandang kerusi DUN Banggi selama lima penggal dari 1985 hingga 2008 dan.pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan negeri pada 1993 serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan pada 1994.
Sementara itu, Norsuadah, 72, memulakan kerjaya sebagai pembantu rancangan, pembaca berita, juruhebah dan penerbit rancangan dari tahun 1973 hingga 1978 sebelum menyertai dunia politik.
Sebagai ADUN Dilantik, beliau pernah menggalas jawatan Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan negeri, selain turut bergiat aktif dalam pertubuhan keagamaan dan sosial. – Info X