MEMBAKUT: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar mencari rebung di hutan Kampung Kiulu, Lumat, di sini, hari ini.
Mangsa, Banggul@Maicheal Dumat, 77, dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 12 tengah hari tadi namun sehingga kini tidak pulang ke rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam.
“Sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kira-kira 10 kilometer dari balai dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setakat ini, pasukan bomba hanya menemui kenderaan mangsa dan operasi SAR sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pencarian turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kira-kira 30 individu termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 9.50 malam tadi dan akan disambung pagi esok.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X