Search

Tragedi pulang Regatta Lepa: Pengerusi PMBS Bandaraya terkorban, lapan cedera

June 29, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Perjalanan pulang sembilan ahli Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) selepas menghadiri Festival Kebudayaan Ikonik, Regatta Lepa 2025 bertukar tragedi apabila van dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa yang juga Pengerusi PMBS cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yahamad Budin, 74, disahkan maut di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Lapan individu lain termasuk isteri dan anak beliau turut cedera dan diberi rawatan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.19 pagi dan menghantar enam anggota bersama jentera dan unit EMRS ke lokasi sejauh 40 kilometer dari balai.

“Van jenis Toyota Hiace dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan. Terdapat sembilan mangsa di dalam kenderaan itu, termasuk seorang lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas (hydraulic power unit) bagi mengeluarkan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu. – Pix/Bomba

Menurutnya, lapan lagi mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera EMRS.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.09 pagi selepas kawasan disahkan selamat,” katanya.

Difahamkan, semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menyertai program budaya yang berlangsung di Semporna. – Info X